Saya memang minat basikal dan suka mengayuh basikal dari kecil lagi. Sebenarnya saya mula belajar naik basikal agak lewat berbanding dengan rakan rakan sebaya iaitu pada umur 10 tahun pada tahun 1977. Diantara sebabnya ialah di rumah kami memang tidak ada basikal untuk di cuba dan arwah Abah waktu tu pulak naik motor Lambretta. Pada waktu itu kami semua tinggal di berek kakitangan Angkatan Tentera di belakang padang kawad MINDEF di Jalan Kent Dua off Jalan Maktab, Kuala Lumpur. Seingat saya yang ada basikal hanyalah jiran kami yang berketurunan Ceylonese, Uncle Vijimana, yang setiap hari dia pergi kerja dengan mengayuh basikal Hercules buatan England itu.
Waktu itu, kalau hendak pergi kemana mana saya cuma berjalan kaki atau kalau nak cepat sedikit berlari. Pergi sekolah waktu itu kalau tidak dihantar oleh arwah Abah dengan Lambretta, saya akan berjalan kaki bersama kawan kawan yang lain. (Waktu dulu kes culik budak sekolah tak wujud langsung, dan ibu bapa pun tak pernah risau anak anak bermain main di luar rumah).
Peluang belajar naik basikal hanya timbul setiap kali pulang ke kampong rumah Tok Awang kami di Kepala Batas, Permatang Tinggi C pada musim cuti sekolah. Memandangkan dirumahnya ada banyak basikal saya pun tak melepaskan peluang untuk belajar. Kawasan yang menjadi tempat selamat saya belajar mengayuh ialah di jalan tanah merah yang di tepinya ada banyak pokok mengkuang, kolam kerbau mandi lumpur dan di kelilingi bendang sawah dan taliair. Bila dah boleh mengayuh, habis satu kampung dan kampung-kampung bersebelahan saya jelajahi. Pendek kata, memang tak lekat di rumah langsung, cuma boleh nampak batang hidung saya di rumah bila perut sudah mula berkeroncong sahaja. Pada waktu itu, apabila dapat naik basikal tiba tiba dunia ini terasa luas, langkah terasa makin panjang dan deras, satu nikmat kebebasan bergerak yang menggembirakan. Tidak pernah ada istilah penat mengayuh waktu itu, yang ada hanyalah keseronokan.(nota tambahan: mengikut cerita nenek saya arwah Abah waktu bujangnya dulu setiap hujung minggu akan mengayuh basikal dari Yan ke Sungai Petani untuk tackle emak saya. No wonder saya dan Nazry pun minat mengayuh jarak jauh hahaha).
Bila tiap kali pulang semula ke Kuala Lumpur saya memang dah macam ala ala gian nak naik basikal tetapi di rumah tidak ada basikal. Pada waktu itu saya tidak sampai hati untuk meminta arwah Abah membelikan saya sebuah basikal memandangkan gaji beliau pun agak sederhana dan adik adik pun masih kecil lagi jadi perbelanjaan harian untuk hidup perlu diberikan keutamaan. Saya sendiripun tak tahu berapakah harga sebuah basikal waktu itu tapi tentu mahal kerana banyak yang datang dari England dengan jenama seperti Raleigh, Jaguar dan Hercules. Namun saya tidak berputus asa kerana minat hendak menaiki basikal ketika itu sedang mekar kembang di dalam hati. Saya tanamkan tekad yang satu hari nanti saya mesti ada basikal sendiri (mungkin inilah puncanya secara subliminal bila dah tua saya banyak beli basikal untuk saya). Lihat post saya terdahulu tentang Compulsive Bicycle Buying Disorder (CBBD).
Pada masa yang sama, di hujung deretan berek kami ada sebuah kampung, waktu itu ada ramai keluarga berketurunan Boyan (sebenarnya mereka dari Pulau Bawean, Indonesia) jadi saya pun panggil kampong Boyan sahaja. Ramai kawan kawan saya tinggal disitu dan mereka pula mempunyai ramai abang yang sudah remaja dan yang paling penting mereka ada basikal dan pandai membaiki dan memasang basikal. Jadi saya suka hang out disitu dan melihat cara cara mereka membaiki basikal masing masing. Selalu lah saya berjalan kaki mengikut mereka ke kedai basikal waktu itu. Saya masih ingat waktu itu hendak pam basikal yang tayarnya bocor pun kena pergi ke kedai basikal. Punyalah daif sampai pam basikal pun tidak ada. Cuma ada dua buah kedai basikal sahaja yang saya tahu ketika itu, di kawasan pasar Kampung Datuk Keramat dan di Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak) berhampiran sekolah rendah saya, Sekolah Rendah Jalan Gurney Satu. Banyak jugalah yang saya dapat pelajari dari kawan kawan dan dari pemerhatian dari mekanik di kedai basikal yang membuat kerja hingga lah timbul idea “kalau tidak mampu beli basikal baik saya buat saja basikal sendiri” dari barangan barangan basikal terbuang dan terpakai.
Sejak dari itu lah saya mula merayau di merata rata tempat mencari frame, rim dan apa saja parts basikal di tempat orang buang sampah, semak samun, belakang kebun orang, tepi lombong, belakang rumah orang, kalau-kalau ada barang barang basikal yang sudah dibuang dan tidak di gunakan lagi. Habislah setor yang dibina arwah Abah di tepi rumah kami menjadi tempat saya meyimpan rangka basikal buruk, tayar buruk dan banyak lagi pelbagai parts yang di kutip. Setor itu juga menjadi bengkel basikal saya dimana saya dan kawan kawan yang sama minat selalu berbincang macam mana nak buat basikal sendiri. Akhirnya bermodalkan duit raya yang dikumpul sejak beberapa tahun untuk membeli parts yang tak cukup dan dicampurkan dengan parts yang lama dikumpul jadilah sebuah basikal. Alhamdulillah 🙂 Masa tu saya dah di tingkatan satu Sekolah Menengah Laki Laki Jalan Temerloh. Masa itu mana lah kenal branded stuffs ni, semua parts cap ayam je tapi saya masih ingat lagi frame basikal pertama saya ialah frame Raleigh untuk wanita (takde palang) berwarna hijau tua. Adalah lebih kurang macam gambar di bawah ni tapi basikal dalam gambar ni seribu kali lagi cantik dari basikal pertama saya. Seingat saya brek pun ada satu je kat bahagian belakang. Mudguard pun tak ada jadi nampak togel je tayar tu.
Bila dah ada basikal sendiri punyalah seronok meronda ke sana ke sini. Waktu tu saya ada geng basikal dalam 4 orang. Salah seorang yang saya masih ingat nama ialah Sanad (anak uncle Vijimana), dia ni lagi muda dari saya, rendah je tapi mampu kayuh basikal Hercules bapa dia yang besar tu ikut bawah palang. Memang dia tak pernah merasa duduk atas seat selama beberapa tahun sebab nanti kakinya pulak tak sampai nak kayuh hehehe. Dengan basikal buruk itu lah saya kayuh dengan kawan kawan dari Jalan Kent 2 ke Tasik Titiwangsa, Ampang Park dan sampai ke Bukit Belacan untuk mandi manda di sungai. Tapi waktu tu tak reti sebut pun perkataan “touring” ni kami panggil “main basikal” je. Ketika itu macam- macam lah modification di lakukan dengan basikal masing masing mengikut kegilaan pada zaman awal 80’an tersebut. Satu ketika popular dengan stail handle bar kontot, jadi semua orang potong handle bar masing masing menjadi kontot, terkemut kemut nak control basikal lepas tu. Lepas tu masing masing berlagak buat wheelie dengan basikal. Ada pulak pertandingan siapa boleh wheelie paling jauh yang di ukur dengan jarak berapa tiang letrik LLN boleh dilepasi. Dari freewheel datang pulak fixed wheel jadi kami matikan freewheel masing masing dengan mengetuk paku dicelah gigi freewheel supaya jammed. Bila musim motocross di Tasik Titiwangsa kami pun sama melompat trail dan trek motocross di sana sampai terjun masuk tasik dengan basikal pun ada jugak.
Waktu tu saya mengayuh basikal setiap hari ke sekolah jadi pagi pagi lagi saya sudah keluar rumah supaya boleh sampai tepat pada waktu. Ada satu ketika, adik arwah Abah saya, saya panggil Pakcik Mat datang tinggal di rumah saya untuk berberapa bulan. Dia ada sebuah basikal racing jenama Raleigh. Saya selalu lah pinjam kayuh petang petang walaupun sebenarnya basikal tu terlalu besar saiznya untuk saya. Terjengket jengket kaki saya mengayuh pedal seperti gambar di bawah ni.
Nak di jadi kan cerita, satu hari saya meminta kebenaran Pakcik Mat untuk mengayuh basikal racing kesayangan nya ke sekolah. Mungkin kerana melihat saya bersungguh sungguh meminta dia pun memberikan keizinan. Saya pun dengan bangganya mengayuh basikal racing ke sekolah. Ye lah selalunya kayuh basikal buruk sahaja. Bila sampai di sekolah saya kunci basikal tersebut di tempat letak basikal sekolah. Tamat saja waktu sekolah saya dengan happy nya pergi ke tempat basikal tapi tak jumpa basikal itu di tempat yang saya letak pada asalnya. Rupanya basikal itu di curi orang siap diangkut dengan kunci basikalnya sekali. Hati saya berkecai di sebabkan kehilangan basikal yang bukan saya punya hari itu. Saya menangis tapi buat lah macam mana pun basikal tu tidak akan datang balik. Saya pulang ke rumah berjalan kaki pada hari itu.
Pakcik Mat amat terkejut bila saya beritahu basikalnya telah di curi sewaktu di sekolah. Walau pun perasaan kesedihan bercampur kemarahan terbayang di wajahnya, dia cukup tenang dan menasihatkan saya supaya lebih berhati hati di masa hadapan. Saya cukup respect pada sikapnya pada waktu itu sedangkan dia berhak untuk marah kepada saya. Sebab itulah saya sangat sentimental apabila melihat basikal racing old skool era 70’an dan 80’an kerana teringatkan kejadian tersebut hingga lah ke hari ini. Kalau ada lagi basikal Raleigh macam dulu tu rasa macam nak beli dan hadiah kan balik kepada Pakcik Mat. Tapi apa kan daya Pakcik Mat pula berkerusi roda pada hari ini.
Beberapa bulan selepas kejadian tersebut, arwah Abah membuat satu surprise yang sungguh bermakna pada harijadi saya. Saya sungguh tidak menyangka ketika arwah Abah menyuruh saya mengikutinya dan emak ke Chow Kit road tujuannya ialah untuk membelikan saya sebuah basikal baru. Kami pergi ke sana menaiki kereta Ford Escort arwah Abah. Tiba tiba kereta berhenti di depan sebuah kedai basikal berhampiran panggung wayang Coliseum di Jalan TAR. Arwah Abah turun dan masuk ke dalam kedai dan selepas itu towkay kedai tersebut keluar mengusung sebuah basikal motor yang amat cantik sekali. Arwah Abah memanggil saya turun dari kereta lalu berkata “Haa ini lah hadiah harijadi Haris, lepas ni kenalah kayuh sampai ke rumah”. Mata saya terbeliak tidak percaya apa yang berlaku tetapi sehingga hari ini kenangan itu terpahat dalam ingatan sebagai diantara hari hari yang paling bahagia dalam hidup saya. Al-Fatihah untuk arwah Abah yang merupakan seorang contoh gentleman terbaik buat ikutan diri saya. Jadi apabila saya berpeluang melakukan yang serupa untuk adik saya Nazry dengan menghadiahkan sebuah Surly touring bike (thanks to Pak Ngah) saya mengharapkan arwah Abah akan tersenyum bangga.

“Basikal oh basikal”, engkau menyimpan pelbagai kenangan pahit manis, suka duka dalam kehidupan ini.
Saya dulu belajar basikal menggunakan basikal besar berpalang. habis semua kebun orang dan orang yg tgh berkebun saya langgar bila terbabas. setiap hari kayuh sampai kene hambat balik dengan mak…. hehehe… mungkin minat kita tu dah ada dari kecil kan…. love your writing. keep it up
Thanks Ija. Ingat kot bila dah besar/tua we will outgrow the minat. I guess those early experiences shape the person we are today.
haris…saya membaca dgn rasa sebak…teringat di zaman masa masik kanak2 di kampong..dgn basikal hercules buruk kepunyaan awrah abah saya mula berkayuh..naik celah mcm kwn kamu Sanad tu..
Thanks Abg Aziz. Kisah kita banyak persamaan. Saya suka basikal lama lama abg. Classic.
Cantik beskal motocross tu.. Kalau ada lagi it would be a nice showcase…
Tq
Love your writing… Keep it up bro..
SDRA HARIS, PKCIK MTB KTM TERUJA SGT DGN ESEI SDRA. PKCIK MGKIN PALING LEWAT BELAJAR TUNGGANG GEREK PADA USIA 16 THN. PINJAM GEREK KWN YG LEKA BERMAIN GULI.
Teruskan mengayuh. Ramai kenalan masih boleh mengayuh jauh walaupun lebih 70 tahun. Harap kesihatan kita sebaik mereka nanti. Insyaallah.