Assalam. Pada cuti umum Deepavali baru baru ini, Abang Zol, Muzammil serta anaknya dan saya sempat mencuri sedikit masa untuk melakukan kayuhan santai dari Cahaya SPK ke Jeram, Kuala Selangor.
Kayuhan “tiba tiba” yang dipersetujui secara spontan melalui Facebook ini merupakan kayuhan “reunion” bersama Abang Zol dan Muzammil setelah hampir 2 tahun tidak mengayuh bersama. Kali terakhir kami bertouring ialah perjalanan Putrajaya-Melaka-Putrajaya.
Kadang2 semangat setiakawan yang dijalin sewaktu mengharungi suka duka, pahit getir perjalanan kayuhan mengukuhkan lagi tali persahabatan hingga membuatkan kita berasa selesa berkayuh lagi bersama. Jika anda mempunyai rakan rakan yang sebegini; jaga lah mereka; “they are a rare species” di zaman dimana kita punyai ramai kenalan tetapi kurangnya sahabat.
Secara kasar route perjalanan kami dari Cahaya SPK ke Jeram adalah melalui “dragon back” Bukit Cherakah, Bukit Kapar melalui Jalan Iskandar, Jalan Akob, Jalan Kg. Bukit Kerayong, Jalan Simpang Tiga Jeram.
Kami menaiki 2 foldie dan 2 basikal touring dengan membawa keperluan minima kerana ini hanyalah “a single day touring”. Cuaca sepanjang perjalanan agak panas dan ramalan cuaca akan ada hujan ribut petir sekitar jam 2 petang. Perancangan perjalanan adalah penting supaya kita dapat menyesuaikan kayuhan kita dengan cuaca dan keadaan semasa.
Kami mengikuti route dimana terdapat “natural covers” seperti pokok pokok dan tidak banyak kenderaan. Perjalanan kami juga melewati estet kelapa sawit Sime Darby seperti estet Jalan Akob, Bukit Kerayong. Permandangan rumah2 pekerja dan sekolah di kawasan estet seperti satu “throwback” ke suatu masa di mana kehidupan harian masih dikelilingi kehijauan dan juga rentak kehidupan yang lebih ringkas dan perlahan. Kicauan burung2 masih berkumandang mengiringi perjalanan kami.
Hampir kesemua gambar2 dalam artikel ini diambil oleh Muzammil menggunakan “Go Bro” nya jenis Xiomi.
Diatas adalah salah satu contoh “pose wajib” waktu berkayuh. Haha.
Walaupun tak dirancang, majoriti memakai baju berwarna hijau cerah sewaktu kayuhan. Warna ini memang kegemaran saya untuk mengayuh kerana ia dapat membantu kenderaan lain melihat anda dari jarak yang jauh. Saya perhatikan trend pengayuh sekarang tidak lagi menggunakan helmet keselamatan malah lebih senang memakai cap atau buff. Saya cadangkan pakailah helmet kerana kemalangan boleh terjadi di mana mana di waktu yang kita tidak sangka sangka. Ketepikan keselesaan jangka pendek untuk keselamatan jangka panjang (Ini adalah satu pesanan khidmat masyarakat yang tidak ditaja oleh mana mana syarikat pembuat helmet).
Sampai saja di pantai Jeram kami mencari kedai minum untuk lari dari kepanasan yang terik dan berteduh seketika. Minuman diatas ialah air nira kelapa yang telah dibekukan. Botol botol ini direndam didalam bekas yang mengandungi air panas untuk mencairkannya terlebih dahulu. Jadi walau dahaga macam mana pun bersabarlah. Memang betullah penantian itu satu seksa.
Bila dah duduk mulalah masing sibuk dengan gajet masing2 untuk update position dan status. Manalah tahu.. zaman sekarang ini kan zaman orang boleh hilang tanpa kesan. Bagus juga kalau boleh melapurkan ke “base camp” progress perjalanan anda.
Setelah hilang penat, kami pun mula berkayuh menyelusuri laluan pesisir pantai hingga ke Pantai Remis. Ramai juga keluarga yang datang berkelah dan ramai juga yang sanggup berpanas terik mencari kepah yang memang merupakan aktiviti yang popular di pantai ini.
Kemudian kami menghala ke Kg Sungai Sembilang dan destinasi kami ialah warung Asam Pedas Sg Sembilang Klasik. Belum pernah lagi makan disini tapi teruja selepas melihat gambar2 yang diwar-warkan oleh geng kayuhan yang lain. Tercari cari jugak heli Wak dan Ija tapi tak kelihatan. Kami tiba dalam jam 12.15 tapi dimaklumkan pesanan asam pedas cuma dibuka jam 1 petang. “Takpe lah dah datang jauh jauh kami sanggup tunggu” ujar kami. Sambil menunggu minum air kelapa dulu. Memang nikmat kena air kelapa dan makan isinya diwaktu panas “lit lit” begini. Ramai jugak orang yang datang untuk makan asam pedas termasuklah satu gerombolan road bikers dalam 30 orang. Sayang road bike mereka mahal2 tapi tiada “stand” jadi kena lah bersandar dimana mana tiang atau pokok yang ada.
Akhirnya dapatlah juga makan asam pedas. Ikan yang ada hari itu cuma pari, cencaru dan kembong. Ikan sembilang tak ada. Frust terpaksa order asam pedas ikan pari. Bila order asam pedas set individu datang seperti gambar di atas. Memang berselera saya makan sampai tak berkata kata (bukan apa takut tersedak sebab kuahnya kaw kaw).
Selepas makan seperti biasa ulasan panel hakim pulak. Bagi saya asam pedas nya boleh tahan sodap tapi Masterchef Zol dan Masterchef Muzammil bagi 3 bintang dari 5 bintang. Perbandingan Muzammil ialah asam pedas masakan arwah ibunya. Memang lah masakan ibu ada “secret ingredient” iaitu di masak dengan kasih sayang. Mana boleh banding.
Perutpun dah kenyang manakala langit pun dah mula gelap dengan awan mendung bergerak sarat. Waktu untuk mengayuh pulang. Kali ini kami memilih route berbeza melalui jalan besar hingga ke pekan Kapar, Meru, melalui Jalan Paip hingga kembali ke Cahaya SPK. Kami berhenti solat dahulu dimasjid di Kapar untuk membiarkan hujan mula turun.
Perjalanan seterusnya kami mengayuh dalam cuaca yang redup dan sedikit renyai renyai. Trafik agak sibuk dengan lori dan kenderaan berat yang lain laju melepasi kami. Tiba di jalan Kapar -Meru kami berkayuh mengikuti laluan sikal memandangkan memang tiada bahu jalan yang selamat untuk berkayuh.
Kami kemudian membelok ke Jalan Paip dimana sepanjang jalan tersebut ada jaluran paip air terbina.
Akhirnya setelah 72 kilometer mengayuh kami tiba kembali ketempat permulaan kayuhan kami. Alhamdulillah cuaca amat baik sekali dan tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini.
Tamatlah sudah kayuhan santai kami seperti kata Abang Zol “tiada medal dihujung kayuhan” tapi hanya tali persahabatan yang semakin kukuh terbina. Insyaallah jumpa lagi di kayuhan akan datang. Wassalam.
Menarik, saya sgt2 jarang dpt mengikuti rencana perjalanan sebegini. Selalunya berkayuh dan penceritaan dibuat melalui gmbar2 dan nota2 ringkas sahaja, penceritaan lengkap sebegini sangat menarik dan mampu menarik minat orang ramai untuk turut serta dalam program2 sebegini
Terima kasih kerana singgah diblog ini.